Keuntungan Lumayan Ternak Arowana
EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga. Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.
Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah. Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.
Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut. "Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,'' katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.
Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian. Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.
Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan. Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya. Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan.
"Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,'' katanya. Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.
Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.
Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam. Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat. Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur.
"Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta," ujarnya. Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan. Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan.
"Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,''katanya. Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia. Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.
.
"Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,'' katanya. Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.
"Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,'' katanya. Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.
.
Info
Taksonomi Arowana
Kelas: Pisces
Order Clupeiformes
Suborder Osteoglossoidei
Famili Osteoglossidae
Genus : Scleropages sp.
Spesies: Scleropages formosus.
Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.
Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan. .Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.